Orang ramai mengambil kesempatan membeli buku dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Iman Shopee sedia 1,000 judul buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Penerbit buku Iman Shoppe menawarkan lebih 1,000 judul buku pelbagai genre di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berlangsung sejak 1 Disember lalu.

Pengurusnya Salmah Md Saiful Islam berkata pelbagai kategori buku boleh didapati termasuk novel, fiksyen, buku Islamik dan kanak-kanak.

Menurutnya, selain menampilkan beberapa buku baharu, pengunjung di ruang pameran turut ditawarkan dengan koleksi sedia ada pada harga diskaun sehingga 10 peratus dan jualan kombo tiga buku hanya RM65.

“Kita mengalu-alukan orang ramai yang berkunjung ke pesta buku ini untuk singgah ke gerai kami dan dapatkan promosi menarik sehingga 11 Disember ini.

“Pengunjung juga berpeluang untuk ‘meet & greet’ bersama beberapa penulis buku di bawah terbitan Iman Shoppe,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Pengurus Iman Shopee Salmah Md Saiful Islam. Foto Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, ini merupakan tahun keempat pihaknya mengikuti pesta buku anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan membuka empat reruai berbanding dua sebelum ini.

“Kami tambah reruai memandangkan sambutan pada tahun lalu juga memberangsangkan dan insya-Allah kami sasarkan lebih RM100,000 hasil jualan kali ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Salmah berkata terdapat tiga buku yang mendapat sambutan pengunjung iaitu Healing The Heart, Letters To God dan How To Respect Myself.

Sementara itu, Pengurus Karya Publika Sdn Bhd Syamel Mohd Isa berkata terdapat lebih 200 jenis buku dijual pada pesta buku kali ini.

Pengurus Karya Publika Sdn Bhd Syamel Mohd Isa. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Ada pelbagai genre antaranya sejarah Melayu, sejarah dunia, konspirasi dan ancaman. Semua ini mendapat permintaan tinggi dan ada pengikutnya yang tersendiri.

“Datanglah bersama keluarga dan dapatkan pelbagai promosi menarik iaitu tiga buku hanya RM100 berbanding harga asal sekitar RM38-RM40 sebuah,” katanya.

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 1 hingga 11 Disember bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya antarabangsa melibatkan pempamer China, Singapura dan Indonesia.


Pengarang :