Pemandangan Masjid Raja Lumu di Bukit Malawati, Kuala Selangor dirakamkan pada 23 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Kubah tembaga hijau hiasi Masjid Raja Lumu di kaki Bukit Malawati

Tambahan kubah tembaga antara daya tarikan baharu Masjid Raja Lumu, masjid diraja kesembilan di negeri ini selepas kerja menaik taraf selesai baru-baru ini.

Kubah tembaga itu berwarna hijau selepas proses pengaratan mirip konsep binaan ikonik Patung Liberty di New York.

Bezanya, warna hijau patung simbol kebebasan itu yang dibina pada 1883 terhasil daripada proses pengoksidaan semula jadi, mengubah warna asalnya keperang-perangan susulan peredaran masa.

Farid Abdullah, pengurus projek pembinaan masjid itu, menjelaskan mereka mempercepat proses pengoksidaan kepingan tembaga di sebuah makmal di Jerman.

“Ini kelainan yang cuba ditampil dalam seni bina Masjid Raja Lumu, sama seperti bangunan hebat lain di luar negara,” katanya kepada Selangorkini pada 23 November.

Pembinaan kubah baharu dijayakan Rafulin Holdings Sdn Bhd selepas dipersetujui Kumpulan Senireka, arkitek Masjid Diraja Istana di Istana Alam Shah, Klang.

Mampu memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa, masjid yang tersergam indah di kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor turut mengekal kubah asal.

Chandelier dari Mesir

Deretan tangga dibina bagi memudahkan orang ramai yang melancong ke Bukit Malawati singgah solat di Masjid Raja Lumu.

Di ruang solat utama, bangunan asal masjid yang dahulu dikenali Masjid Pekan Lama Kuala Selangor, keindahan kesenian Islam begitu terserlah.

Ada lampu chandelier dari Mesir manakala hiasan dinding dari Uzbekistan. Ayat-ayat al-Quran turut diukir pada batu serta kayu hasil kreativiti penggiat seni tempatan. Kos keseluruhan projek berjumlah RM10.4 juta, RM8.6 juta daripadanya diwakaf Yayasan Rafulin.

Ruang solat utama Masjid Raja Lumu di Bukit Malawati, Kuala Selangor diserikan dengan lampu chandelier dari Mesir manakala hiasan dinding dari Uzbekistan. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa mengikuti rapat kerja naik taraf termasuk mencemar duli meninjau perkembangan projek itu.

“Baginda melawat projek naik taraf itu pada Mei lalu dan menyampaikan pandangan menerusi arkitek, ia memudahkan tugas kami dan menaikkan lagi seri masjid ini,” katanya.

Pada 6 Oktober, Baginda berkenan merasmikan masjid itu dan menggelarkannya sempena nama Raja Lumu, Sultan Selangor pertama bergelar Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari 1766 hingga 1782.

Mengikut sejarah, Raja Lumu ditabal dan bersemayam di Bukit Malawati, Kuala Selangor, dulu dikenali Bukit Selangor.

Ruang terbuka dihiasi dengan tumbuhan hijau memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik di dalam bangunan Masjid Raja Lumu di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Gamit pelancong

Sultan Sharafuddin berharap seni bina masjid baharu itu menjadi antara daya tarikan penduduk selain menggamit pelancong ke Kuala Selangor.

“Beta percaya masjid ini memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan serta kesan peninggalan sejarah yang masih boleh dapat dilihat di daerah Kuala Selangor ini,” titah Baginda dalam upacara perasmian.

Menurut Pengurus Masjid Raja Lumu Luqmanulhafiz Mohd Amir, pelancong dari Timur Tengah memuji seni binanya.

“Di luar pula, ada mural lakaran masjid asal dihasilkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor,” katanya.

Lampu bewarna emas di dinding putih menaikkan lagi seri ruang wuduk terbuka bagi jemaah lelaki di Masjid Raja Lumu di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :