Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchong pada 19 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
ADNEXCOSELANGOR

Jualan murah: ADN syor tambah kuantiti, jenis produk di kawasan penduduk padat 

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 19 DIS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara mencadangkan kuantiti dan jenis barangan keperluan harian program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dipelbagaikan bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Ng Sze Han berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku penganjur program wajar mempertimbangkan cadangan tersebut terutama apabila inisiatif jualan murah diadakan di kawasan penduduk padat.

EXCO Kerajaan Tempatan yang juga ADN Kinrara Ng Sze Han ketika hadir program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kinrara di Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, Puchon.pada 19 Disember 2022.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Inisiatif ini juga bagi membantu rakyat berjimat memandangkan kos sara hidup tinggi semakin membebankan.

“Dengan pelbagaikan pilihan barangan dapur kita dapat bantu mereka berjimat lebih banyak selain meringankan beban perbelanjaan dan kos sara hidup.

“PKPS boleh menambah pelbagai barangan kering seperti mi segera, kicap, sos, biskut dan sardin dalam tin,” katanya ditemui selepas meninjau program itu di Jalan Puteri 7/1 Pangsapuri Begonia Puchong, hari ini.

Beliau berkata program JER yang sudah 14 kali dilaksanakan di DUN Kinrara akan berakhir esok di Taman Puchong Intan sebelum disambung semula pada Januari tahin depan.

“Program yang  dilaksana Kerajaan Negeri bagi menangani  isu kos sara hidup rakyat mendapat sambutan hebat setiap kali dianjurkan,” katanya.

JER menjual ayam standard RM10 seekor, papan telur gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), ikan kembung (RM6 setiap pek), beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol)

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember ini, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :