Foto ihsan artikel Perahu-perahu Tradisional Nusantara oleh Horst H Liebner (2005)
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Kapal unggul pelayaran Bugis, kuasai jaringan dagang nusantara

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Jika orang Melayu terkenal dengan jong pada abad ke-15 semasa kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, masyarakat Bugis pula terkenal di lautan menerusi kapalnya yang dikenali sebagai pinisi.

Kapal pinisi telah mengukir imej orang-orang Bugis sebagai pelayar unggul dan menguasai jaringan perdagangan, khususnya di pelabuhan-pelabuhan Nusantara sebelum munculnya kapal moden berenjin wap.

Keberadaan pelayar Bugis di Alam Melayu bukan sahaja untuk berdagang tetapi juga menyebarkan agama Islam selain menjadi benteng pertahanan untuk negeri-negeri Melayu melawan asakan penjajah Belanda.

Kehebatan orang Bugis mengimbangi kuasa Barat dan mengawal jaringan perdagangan banyak dibantu kapal pinisi yang direka untuk pelayaran jarak jauh, bahkan menjadi kekuatan ampuh dalam penguasaan laut.

Mengikut Sejarah Ringkas Warisan Perkapalan Tradisional Melayu tulisan Hashim Musa, Rozita Che Rodi dan Salmah Jan Noor Muhammad terbitan Jurnal Antarabangsa Tamadun dan Dunia Melayu 2014, pinisi ialah kapal layar tradisional yang berasal dari suku Bugis dan suku Makassar di Sulawesi Selatan.

Kapal pinisi digunakan pelayar Bugis di Alam Melayu sejak beberapa abad lalu. Dianggar kapal pinisi sudah ada sebelum 1500-an.

Menurut naskhah purba Bugis iaitu ‘Lontarak Babad La Lagaligo’ pada abad ke-14, kapal pinisi pertama dibuat oleh Sawerigading, putera mahkota Kerajaan Luwu untuk belayar ke China untuk meminang Puteri Maharaja China bernama We Cudai.

Mengikut pengkaji Barat pula, pinisi dibina dengan kaedah sedikit sebanyak mencontohi kapal jenis pinas Belanda selepas diperkenal Syarikat Hindia Timur Belanda sekitar 1600.

Menurut Herry Lisbijanto dalam bukunya Kapal Pinisi pada 2013, kapal warisan Bugis itu mempunyai bahagian utama yang penting, antaranya:

  • Lunas kapal yang disebut Kalabiseang. Terdapat pada bahagian bawah kapal dan diibaratkan sebagai tulang punggung kapal. Lunas kapal terbahagi atas dua iaitu lunas depan dan belakang yang disebut Sotting
  • Kulit dan kerangka kapal. Pada proses pembuatan kapal pinisi, kulit kapal disusun terlebih dahulu mengikut susunan papan. Papan tersebut di bengkokkan dan papan pertama disebut Panggepe. Setelah kulit kapal tersusun, barulah kerangka dalam kapal disusun disesuaikan dengan kulit kapal yang dibuat pada peringkat awal itu
  • Dek atau Katabang. Setelah badan kapal dibuat, proses selanjutnya daripada pembuatan kapal pinisi adalah membangun geladak atau dek kapal. Biasanya bahan yang dipakai dalam pembuatan geladak dan lantai kapal adalah kayu jati putih
  • Tiang Agung yang terdiri dari dua tiang merupakan ciri khas kapal pinisi. Kapal pinisi tradisional yang belum menggunakan mesin diesel menggunakan layar sebagai penggerak kapal. Sehubungan itu, tiang depan dibuat lebih panjang daripada tiang belakang supaya kapal dapat bergerak lebih cepat ketika belayar. Dalam proses pembuatannya juga, tiang kapal biasanya dikerjakan ketika kapal telah diluncurkan ke laut
  • Kapal pinisi mempunyai tujuh layar yang menjadi sebahagian ciri khasnya. Layar itu terdiri daripada layar utama yang disebut Sombala, layar kecil di atas setiap layar utama disebut Tanpasere, dan tiga layar pembantu yang berada di depan yang masing – masing disebut Cocoro pantara, Cocoro tanganga dan tarengke

Pinisi membuktikan keistimewaannya dengan menaklukkan samudera dan melakukan pelayaran jarak jauh sehingga ke beberapa negara Asia. Walau kapal warisan Bugis itu diperbuat daripada kayu, namun ia mampu bertahan daripada ombak dan badai di laut lepas.

Kapal pinisi menjadi manifestasi keunggulan kejuruteraan pengangkutan laut Alam Melayu yang dipelopori masyarakat Bugis. Justeru, tidak hairanlah imej kapal pinisi gah belayar di lautan diabadikan pada wang kertas 100 rupiah Indonesia.

Foto ihsan artikel Perahu-perahu Tradisional Nusantara oleh Horst H Liebner (2005)

 


Pengarang :