Peserta mendengar taklimat dari wakil pemain industri ketika program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri 5 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peserta akui program usahawan digital negeri bantu perniagaan lebih dikenali, tingkat jualan

KLANG, 11 DIS: Peserta Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 menyifatkan program itu membantu perniagaan barangan kanak-kanak yang diusahakan sejak 2019 lebih dikenali.

R Kharte, 33, berkata sebelum ini beliau ada menggunakan beberapa platform perniagaan digital tetapi sambutan diterima kurang menggalakkan.

“Apabila menyertai program ini, saya seperti mendapat ilmu baharu kerana pemain industri yang dijemput berkongsi maklumat baharu yang tidak pernah difikirkan.

“Antaranya yang diperolehi ialah berkenaan sasaran pelanggan dan cara memasarkan produk dengan kaedah lebih berkesan sekali gus membolehkan perniagaan dikenali,” katanya.ditemui di program berkenaan semalam.

Sementara itu, peniaga mesin basuh pengering Ashura Morad, 41, bersyukur apabila dapat menyertai program yang diketahuinya menerusi Facebook.

“Saya memang hendak meniaga di medium lain tetapi tidak tahu menggunakannya. Apabila mengikuti program ini, ia seakan-akan memberi sinar baharu dalam menjana pendapatan.

“Selepas menghadiri jelajah ini, saya dapat memfokuskan jualan mesin basuh pengering ini di beberapa medium lain dan tidak hanya tertumpu kepada Facebook sahaja,” katanya.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama peserta ketika perasmian program jelajah usahawan digital Selangor siri 5 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program usahawan digital anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) diadakan sebanyak lima siri iaitu di Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Kuala Selangor dan berakhir Klang.

Disertai hampir 1,000 peserta, program yang membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah dan pantas itu dirasmikan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Untuk siri terakhir, Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 membawa rakan kongsi daripada pemain industri iaitu Shopee, Lazada, Touch ‘n Go eWallet, Hijrah Selangor, Epic Unicorn, TikTok Shop, Grab dan Sprii Commerce.


Pengarang :