Pembantu Jualan Sri Ayu Publishers and Distribution Nur Dayana Shaikh Baharum menunjukkan komik Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang laris dijual sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 7 Disember 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Komik Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Gila-Gila jadi rebutan di pesta buku negeri

SHAH ALAM, 8 DIS: Komik Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan majalah Gila-Gila antara karya rebutan pembeli di reruai Sri Ayu Publishers and Distribution sepanjang tujuh hari dipasarkan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Pembantu Jualan Nur Dayana Shaikh Baharum berkata komik yang diadaptasi daripada siri sitkom popular era 90-an dan majalah humor mendapat permintaan tinggi pelanggan pelbagai lapisan umur.

“Hanya 45 naskhah koleksi terbaik Imuda dibekalkan kepada kami untuk dijual dengan harga RM45. Ia hampir habis terjual dan tiada stok tambahan.

“Kebanyakan komik ini dibeli oleh orang-orang otai (old timer) yang mengikuti rapat sitkom berkenaan sejak dulu lagi, mungkin mereka mahu mengembalikan memori watak-watak mencuit hati.

“Begitu juga majalah Gila-Gila yang bukan sahaja mendapat permintaan tinggi daripada orang dewasa tetapi kanak-kanak,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata hasil jualan yang direkodkan setakat ini amat memberangsangkan berbanding ketika penyertaan dalam Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam.

“Kita cuba beri yang terbaik dengan menawarkan diskaun 10 peratus untuk buku-buku tertentu termasuk promosi buku-buku murah.

“Pendekatan sebegini bagi menarik minat orang ramai yang singgah ke reruai ini untuk membeli sekurang-kurangnya senaskhah buku,” katanya.

Suasana sekitar dengan pengunjung mencari buku dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

SIBF diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor sejak 2006 yang menampilkan pempamer luar negara seperti China, Singapura (membawa buku dari United Kingdom dan Amerika Syarikat) serta Indonesia.

Manakala tujuh felo didatangkan khas dari United Kingdom, Macedonia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia bagi program Kandungan Kanak-Kanak Antarabangsa Selangor.

 


Pengarang :