AGENDANASIONAL

Lelaki ditahan bantu siasatan miliki pelbagai bahan pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Seorang lelaki ditahan di Klang, Selangor kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan Selasa lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, PDRM mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

“Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak, selain memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Sehubungan itu, polis merampas komputer, cakera keras luaran (external hard disk), penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan tangkapan lelaki itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.

Noorsiah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :