Orang ramai tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu dengan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Manfaat cuti hujung minggu kunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor

SHAH ALAM, 3 DIS: Orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu dengan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Saufi Osman, 40, dari Bangi berkata beliau dan keluarga sering berkunjung ke mana-mana pesta buku kerana minat mendalam mereka terhadap membaca.

“Di rumah kami ada perpustakaan mini dan ada lebih 300 buah buku pelbagai genre. Hari ini ambil peluang ke sini kerana mahu menambah lagi koleksi buku.

“Bagus apabila ada pesta begini kerana banyak buku kita boleh dapat hanya di satu tempat dan harga pun lebih murah berbanding di pasaran,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Manakala, pelajar, Lysandra Naomi Joseph, 15, berkata beliau teruja apabila dapat tahu ada pesta buku di Shah Alam dan terus mengajak keluarga berkunjung ke sini.

“Saya memang banyak kumpul buku genre jenayah dan sains, hari ini saya datang kerana mahu mencari pelbagai lagi buku seperti itu bagi menambahkan lagi koleksi.

“Saya harap program ini dapat dianjurkan secara kerap pada masa akan datang,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi ahli biologi.

Seorang surirumah Salsabila Jamal, 34, berkata beliau hadir ke pesta buku kerana mahu menarik minat anaknya berusia empat tahun terhadap bahan bacaan.

“Setiap hari memang luangkan masa membaca buku untuk anak dan hari ini kami datang sini untuk mendapatkan pelbagai lagi jenis buku pada harga berpatutan,” katanya.

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 1 hingga 11 Disember ini bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan China, Singapura dan Indonesia.


Pengarang :