Penduduk menggunakan perkhidmatan sampan untuk melakukan kegiatan harian berikutan kawasan kampung masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat, empat negeri kekal

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat pagi ini manakala di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak masing-masing kekal.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam kenyataan memaklumkan Mersing menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di negeri itu, menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 178 orang setakat 8 pagi ini berbanding 159 orang malam tadi.

Menurutnya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dibuka pada 12.30 tengah malam tadi di Sekolah Agama Pangkalan Batu untuk menempatkan 22 mangsa banjir daripada tiga keluarga, sekali gus menjadikan enam PPS dibuka di tiga daerah termasuk Segamat dan Kota Tinggi.

“Dua PPS di Kota Tinggi menempatkan 84 orang daripada 25 keluarga, manakala tiga PPS di Segamat menempatkan 72 orang daripada 20 keluarga,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, menurut Sekretariat JPBN Kelantan seramai 2,019 orang daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas masih ditempatkan di tujuh PPS setakat ini.

Daripada jumlah itu, 712 mangsa berlindung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).

Di Terengganu, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu pada pagi ini kekal seperti malam tadi iaitu 61 orang daripada 13 keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Kemat (35) dan PPS Balai Raya Kampung Tapah (26).

Di Pahang, Sekretariat JBPN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini juga tidak berubah daripada malam tadi iaitu seramai 151 orang di dua daerah membabitkan Pekan dan Bera.

Pekan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 142 orang yang berada di PPS SK Sinar Mutiara di Sungai Miang manakala sembilan mangsa lagi berada di PPS SK Kerayong, Bera.

Di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal melibatkan 104 orang daripada 25 keluarga sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Abd Rahman Talib dekat Hilir Perak, SK Padang Serai di Manjung dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali di Perak Tengah.

– BERNAMA


Pengarang :