Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut membantu memindahkan pasangan warga emas yang mengalami masalah angin ahmar dengan menggunakan bot di Kampung Baroh Masin, Hulu Besut pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat kepada 33,977 orang

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 19 DIS: Mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat kepada 33,977 orang susulan fenomena Monsun Timur Laut setakat jam 4 petang ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara menerusi Twitter memaklumkan sebanyak 348 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kedua-dua negeri itu.

Di Kelantan mangsa banjir membabitkan 14,376 orang daripadda 4,426 keluarga dengan 105 PPS beroperasi.

Terengganu pula seramai 19,601 orang daripada 5,699 keluarga dengan 243 PPS dibuka.

Enam kawasan di Kelantan mencatat paras air pada tahap bahaya dengan trend menaik iaitu di Jambatan Melor, (Bachok), Sungai Lebir (Kuala Krai), Kampung Jenob (Tanah Merah), Kampung Jambu (Tumpat) dan Sungai Golok di Kampung Jenob (Tanah Merah).

MetMalaysia melaporkan hujan berterusan melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang pada pagi ini hingga malam. Sebelah petang, ribut petir dan hujan dijangka di beberapa tempat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

 

 


Pengarang :