Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhaini Syed Ali berucap sempena majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 9 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ iktiraf usahawan mikro jalani kursus, berjaya tingkat hasil jualan

PETALING JAYA, 10 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengiktiraf 10 usahawan mikro yang berjaya menamatkan kursus latihan keusahawanan.

Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berkata kursus yang diadakan sebanyak tiga bulan sejak Mei lalu itu berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM702,229.

“Kita mengambil berat dan prihatin dengan penjaja di Petaling Jaya terutama yang terjejas ketika pandemik Covid-19 dan kita bantu mendedahkan mereka dengan pemasaran secara dalam talian.

“Peserta diberi bimbingan secara terus ‘one to one’ dan kita turut melawat ke lokasi berniaga bagi melihat sendiri serta membantu mereka untuk terus maju dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Petaling Jaya 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini semalam.

Latihan keusahawanan itu merupakan program di bawah Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 yang dilancarkan Mac lalu.

Pelan itu bagi memastikan hala tuju pembangunan usahawan dapat dicapai dan tidak ketinggalan berdasarkan konsep perniagaan masa kini ke arah digitalisasi.

Usahawan mikro itu perlu menjalani kursus mengikut tiga tahap yang ditetapkan.

Tahap 1 – Usahawan diberi penerangan asas berkaitan usahawan digital serta penerangan produk daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan Yayasan Hijrah Selangor dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Tahap 2 – Usahawan diajar berkaitan pengurusan media sosial dan pengurusan data pelanggan.

Tahap 3 – Kursus kelolaan Institut Keusahawanan Negara yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui latihan dan bimbingan.


Pengarang :