Peniaga dan pelanggan memakai pelitup muka serta mematuhi SOP ketika melakukan urusan jual beli di Sri Gombak, Batu Caves pada 22 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA kuat kuasa pemakaian pelitup muka kepada peniaga makanan mulai 1 Januari

SHAH ALAM, 30 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menguatkuasa penggunaan pelitup muka kepada pengendali makanan bermula 1 Januari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata perkara tersebut sudah dipersetujui bersama pada mesyuarat penuh MBSA yang diadakan awal Disember lalu.

“Pemakaian pelitup muka akan dikuatkuasa bagi tujuan mengawal dan mengekang Covid-19 daripada terus merebak.

“Selain itu, ia juga menggalakkan peniaga dan masyarakat untuk amalkan kebersihan pada tahap tertinggi,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis perpisahan timbalan datuk bandar Shah Alam di sini, hari ini.

Dr Nor Fuad berkata MBSA juga akan menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai syarat baharu lesen perniagaan bermula Januari, selain mengeluarkan notis kepada semua premis makanan.

“Kerajaan Negeri juga sudah mengeluarkan pekeliling mengenai pemakaian pelitup muka dan MBSA akan melaksanakannya secara berperingkat tanpa mengira di restoran atau di pasar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di negeri ini.

Menurut Amirudin, pendekatan itu dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :