Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MPKS: Pesta ria di Puncak Alam langgar arahan sita

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 13 DIS: Pesta ria (fun fair) di Puncak Alam, lokasi terjadinya insiden tiga individu tercampak keluar daripada alat permainan sudah disita sejak 29 November lalu.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata karnival itu juga tidak mendapat kebenaran pihaknya, polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, lapor Harian Metro.

“Pengusaha tapak pesta ria itu ada membuat permohonan permit daripada MPKS. Namun kita tidak meluluskannya dan menyita lokasi itu.

“Bagaimanapun, pihak berkaitan masih berdegil untuk beroperasi bermula Sabtu lalu (10 Disember) hingga mengakibatkan berlaku insiden malang itu,” kata Rahilah Rahmat.

Jelas beliau, pengusaha tapak juga diberi notis kompaun mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 selain dilarang beroperasi sepenuhnya.

“Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam semalam, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada permainan ‘Sotong Ride’ di pesta ria berhampiran Eco Grandeur.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

 


Pengarang :