AGENSISELANGOR

Peluang menangi SSP BSN menerusi kempen anjuran LZS

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 2 DIS: Orang ramai berpeluang memenangi Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai sehingga RM3,000 menerusi kempen Kongsi Rezeki dan Menang anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menerusi kempen yang bermula dari 1 hingga 30 Disember 2022, Bank Simpanan Nasional (BSN) dipilih menjadi rakan sinergi agensi berkenaan.

LZS menawarkan hadiah utama Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM3,000 sementara tempat kedua (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000)

Selain itu 30 hadiah saguhati SSP bernilai RM300 untuk setiap pemenang turut disediakan.

“Berkongsi hanya 2.5 peratus tapi berpeluang dapat ganjaran menarik sehingga RM3,000.

“Jom sama-sama mentaksir dan bayar zakat harta yang kita miliki sebelum 2022 berakhir!” tulis LZS menerusi Facebooknya.

Agensi itu turut memaklumkan bayaran zakat kini dimudahkan dengan pelbagai alternatif bayaran e-zakat pay, 18 cawangan LZS, ansuran zakat bulanan, e-dompet, aplikasi Zakat Selangor, mesin ATM, perbankan dalam talian dan ejen kutipan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh layari https://jom.zakatselangor.com.my atau hubungi talian 1 300 88 4343.

 


Pengarang :