Kakitangan LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada 30 April 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pencemaran bau diatasi, LRA Sungai Semenyih diaktif semula

SHAH ALAM, 31 DIS: Pencemaran bau akibat sisa pati minyak wangi dari muatan lori akibat nahas di Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu yang dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir petang tadi diatasi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata operasi loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas sementara berikutan pengesanan itu diaktif semula berdasarkan bacaan di muka sauk loji tersebut.

“Bacaan di muka sauk LRA Semenyih jam 11 malam mencatat 0 TON setelah bacaan diambil beberapa kali, dengan itu pencemaran dapat diatasi dan operasi LRA diaktifkan semula,” tulisnya di Twitter malam ini.

Beliau juga menjelaskan kemungkinan gangguan bekalan air kepada pengguna akibat penutupan loji itu selama kira-kira empat jam berikutan pengesanan sisa berkenaan sangat minimum dan tempohnya singkat.

Petang tadi, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa pencemaran pati minyak wangi akibat kemalangan di Lebuhraya Elite di Negeri Sembilan pada 24 Disember lalu.

Namun, aliran yang tercemar dijangka dialir (flush) dalam tempoh tiga hingga ke empat jam dengan kekerapan pensampelan bau setiap 15 minit. Bacaan pada jam 8.45 malam mencatat 1 TON.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghenti tugas sementara loji tersebut pada jam 7 malam.


Pengarang :