Siti Zalela Zakaria, 36, ketika ditemui ketika Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Lanjan di Pangsapuri Sri Meranti, Petaling Jaya pada 19 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk harap program jualan murah diadakan lebih kerap

PETALING JAYA, 19 DIS: Rata-rata pengunjung berharap program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dapat dianjurkan lebih kerap sekurang-kurangnya seminggu sekali di sesebuah kawasan.

Seorang pengunjung Mohd Yuzwan Mohd Yusof, 35, berkata dia teruja pertama kali berkunjung ke jualan murah itu kerana harga yang ditawarkan amat berbaloi.

“Jika dapat wujudkan satu pusat sehenti JER di setiap kawasan saya rasa ia lebih mudahkan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang murah.

Mohd Yuzwan Mohd Yusof, 35

“Namun, jika tidak boleh cukuplah sekiranya Kerajaan Negeri dapat anjurkan lebih kerap jualan seperti ini kerana ia amat membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Mohd Yuzwan antara ratusan peserta yang ditemui pada program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pangsapuri Sri Meranti Bandar Sri Damansara di sini.

Selain itu, Siti Zalela Zakaria, 36, turut mengakui harga barangan asas di JER sangat murah dan menjimatkan berbanding beli di pasar raya.

“Biasanya saya beli stok barangan dapur di pasar pun habis hampir RM500 sebulan tetapi di sini saya boleh dapatkan ayam, daging, telur, minyak semuanya hanya bawah RM100,” katanya.

Manakala, Alias Bakar, 74, hampa kerana tidak banyak barang boleh diperolehnya susulan beliau tiba lewat ke jualan murah terbabit.

Alias Bakar, 74

“Datang lewat sebab malas nak beratur tetapi rupanya banyak barangan sudah habis, cuma sempat beli ayam dan minyak. Terima kasih Kerajaan Negeri semoga program ini dapat diteruskan,” katanya.

Pada 13 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklum peruntukan antara RM10 hingga RM15 juta bagi meneruskan program itu selama tiga bulan mulai 15 Januari.

Beliau menjelaskan jelajah siri kedua yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.


Pengarang :