Pengujung memilih buku ketika hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvesyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang berlansung dari 1 hingga 11 Disember dan sebanyak 295 reruia pameran yang terlibat pada pesta buku ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengunjung belanja hampir RM1,000 beli buku terjemahan IBDE

SHAH ALAM, 5 DIS: Reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 menerima kejutan apabila seorang pengunjung membeli pelbagai karya berjumlah hampir RM1,000 semalam.

Pengurus Jualan dan Pemasarannya Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata lelaki yang enggan dikenali itu turut mengakui pertama kali mengetahui tentang agensi itu.

Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman

“Beliau adalah seorang lelaki yang sangat merendah diri. Pada mulanya beliau hanya mahu singgah di reruai kami, tetapi kemudiannya beliau tertarik dengan buku-buku kami.

“Kami juga terkejut dengan pembeliannya. Tetapi kami percaya beliau adalah seorang peminat karya-karya terjemahan yang berkualiti,” katanya kepada SelangorKini.

IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah dan agama, malah sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Ainunl Muaiyanah menambah IBDE menawarkan lebih 60 judul pada SIBF 2022 yang bermula sejak 1 Disember lalu.

“IBDE menerima lebih 500 pengunjung setiap hari dan kami menjangkakan lebih ramai pengunjung minggu hadapan, terutama apabila cuti sekolah bermula,” katanya.

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga 11 Disember, bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan China, Singapura dan Indonesia.


Pengarang :