EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman melihat peserta membuat pendaftaran temuduga sempena program Selangor Mega Job Fair di Maeps, Serdang pada 10 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO rancang jumpa menteri belia, teliti undang-undang lindungi pekerja gig

SUBANG JAYA, 11 DIS: Kerajaan Negeri bercadang bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi membincangkan undang-undang khusus melindungi pekerja gig (p-panggilan).

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata status pekerja gig terutama berhubung kawal selia aspek perundangan akan diteliti secara komprehensif bersama persekutuan.

“Saya akan jumpa dengan menteri belia dan sukan dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah membelenggu pekerja p-panggilan kerana belum ada perundangan khusus bagi golongan ini.

“Saya juga akan minta menteri memfokuskan isu generasi muda termasuk mencadangkan (kepada persekutuan) beberapa program bersesuaian untuk golongan (muda),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat ke gerai pameran Karnival Kerjaya Mega Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang di sini semalam.

Mengulas berhubung pelantikan Adam Adli Abd Halim selaku timbalan menteri belia dan sukan, Khairuddin menaruh keyakinan beliau mampu memberi inspirasi dalam mendekati golongan muda dengan pelbagai program bermanfaat.

“Adam punya semangat dan idea pun muda, saya fikir beliau boleh mendekati serta memberi inspirasi kepada anak muda.

“Saya juga berharap menteri terutama penerangan dan belia sukan dapat mencari penyelesaian berhubung orang muda yang terpengaruh dengan isu perkauman. Kita perlu kawal elemen yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.


Pengarang :