Orang ramai membeli keropok lekor pada program Karnival Usahawan Selangor (Kawan) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Platform digital negeri bantu usahawan kembang perniagaan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 4 DIS: Platform Selangor (PLATS) adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri membantu peniaga kecil dan usahawan makanan mengembangkan perniagaan.

Nor Syaqila Iwana Abdul Rahman, 19, dan rakan kongsi Khairiatul Fatihah Mohd Atan, 22, mengakui platform digital itu membantu mereka mempromosi perniagaan dalam talian.

“Kami baru berjinak-jinak dalam perniagan sebab itu pilih jadi franchisee Keropok Gentel yang sudah bertapak lebih 10 tahun. Tapi masih ramai yang tak tahu tentang kewujudan produk ini.

“Ketika mula berniaga pernah dapat untung RM50 sebulan. Memang putus asa, namun bila sertai PLATS kami dapat promosi produk jualan dalam talian jadi tidak hanya bergantung jualan di gerai sahaja.

“Kami gentel dan goreng keropok bila pelanggan buat pesanan. Sekarang kami mampu jual 12 kilogram keropok dengan keuntungan sekitar RM600 sehari,” katanya pada Fiesta PLATS di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Au Diya Fatihah Wan Soffiey (tengah), Adiba Aiya Zafira Arjunaidi (kiri) dan Faridzuan Kamarulhisham menunjukkan produk mereka pada program Karnival Usahawan Selangor (Kawan) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala pengasas Aeira Soft Baked Cookies, Au Diya Fatihah Wan Saffiey, 30, menyifatkan platform digital itu membantu perniagaan dari rumah lebih dikenali umum.

“PLATS bantu ketengahkan perniagaan lebih meluas dan dikenali. Siapa sangka perniagaan yang hanya mula dari rumah kini mampu gajikan lima orang pekerja dan ada kedai dan dapur pusat sendiri.

“Kini saya mampu menjana keuntungan sekitar RM1,000 sehari. Malah dengan sertai Fiesta PLATS, saya teruja bila Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor buat tempahan selepas rasa ‘tester’ yang disediakan. Terbayar penat lelah selama ini,” katanya.

Pengasas Qo’Diang Pizza, Mohd Hafieze, 36, pula berkata PLATS amat membantu perniagaannya bertahan terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika itu saya tak tahu macam mana nak berniaga kerana pasar malam tak boleh beroperasi. Alhamdulillah perniagaan semakin meningkat.

“Kerajaan Negeri juga sediakan bengkel untuk usahawan kecil memang membantu kembangkan perniagaan sehingga saya mampu buka kedai yang ada dapur pusat dan pesanan semakin bertambah setiap hari.

“Pizza dengan resepi istimewa sesuai selera tempatan kini mampu terjual sehingga 400 biji sehari dengan keuntungan antara RM3,000 sehingga RM4,000 sehari,” katanya.


Pengarang :