Foto Tourism Selangor
BUDAYARENCANA

Tujuh lokasi untuk kanak-kanak berkreatif ketika cuti sekolah

Oleh TOURISM SELANGOR

Pelbagaikan aktiviti anak-anak pada cuti persekolahan ini dengan menyertai tujuh bengkel menarik dan menyeronokkan. Anak-anak mungkin berminat dengan aktiviti yang ditawarkan melalui bengkel ‘do it yourself’ (DIY) yang boleh disertai sepanjang cuti persekolahan yang akan datang.

Chocolate Lab, Chocolate Museum Petaling Jaya

Chocolate Lab, Chocolate Museum Petaling Jaya

Terletak di Petaling Jaya, bengkel ini menawarkan penyediaan coklat menggunakan kemudahan yang berkualiti serta diajar oleh pakar pembuat coklat.

Anda boleh memilih antara dua kursus iaitu bengkel pembuatan coklat daripada biji koko dan marshmallow dicelup coklat atau rumah coklat yang mana kanak-kanak dapat membina struktur rumah daripada coklat.

Paling menarik, peserta akan menerima lawatan Chocolate Museum secara percuma melalui pakej
bengkel ini.

Clay Expression, Subang Jaya

Clay Expression, Subang Jaya

Bawa anak-anak anda ke dalam mod berseni dengan menghabiskan percutian cuti sekolah dengan seni tanah liat. Terletak di Subang Jaya, Clay Expression ialah bengkel yang khusus dalam seni tembikar dan tanah liat.

Hanya dalam 2.5 jam, kanak-kanak boleh belajar cara membuat pinggan atau cawan teh melalui teknik pembuatan tembikar secara tradisional dan menggunakan roda tembikar dalam bengkel ‘wheel-throwing’.

Bengkel ini juga menyediakan cabaran dan tema untuk mengasah kemahiran kreativiti mereka. Bawa anak-anak anda dalam pengalaman mengendalikan roda tembikar untuk menghasilkan acuan tanah liat yang lembut kepada karya seni.

Splatter Art Factory, Subang Jaya

Splatter Art Factory, Subang Jaya

Terletak di Subang Jaya, Splatter Art Factory menawarkan seni mewarna dengan percikan cat, termasuk melukis dan mewarna dalam gelap menggunakan cat neon yang glow in the dark.

Bawa pulang hasil seni yang unik dan abstrak menggunakan medium mewarna yang berlainan seperti percikan berus, straw dan juga memecahkan belon yang diisi cat. Beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, anak-anak anda akan dapat menghasilkan seni yang tiada batas dan menggunakan kreativiti mereka sebolehnya.

Adiaida, Petaling Jaya

Adiaida, Petaling Jaya

Pupuk minat pertukangan dalam diri anak-anak anda pada cuti persekolahan ini di Adiaida bertempat di Petaling Jaya. Melalui program mini, junior dan teen maker, kanak-kanak akan mempelajari kemahiran menukang kayu menjadi perabot mengikut saiz dan tahap kesukaran yang bersesuaian. Kemahiran asas pertukangan seperti mengukur, memaku dan sanding akan turut diajar dalam bengkel ini.

Membawa anak anda ke bengkel ini bukan sahaja menyeronokkan bagi mereka, malah mereka juga mungkin dapat memperoleh kemahiran baru dan menjadikan pertukangan sebagai hobi.

The Artsy Craftsy by Shia Lynn, Shah Alam

The Artsy Craftsy by Shia Lynn, Shah Alam

Bengkel yang terletak di Shah Alam ini merupakan satu tempat yang bagus untuk belajar melukis. Peserta bengkel ini akan dapat mempelajari sama ada lukisan gaya bebas atau ‘guided’ yang diajar oleh kumpulan pelukis yang mahir.

Kanak-kanak juga boleh mempelajari cara menggunakan medium lukisan yang berlainan yang mana mereka
kemudian dapat menggunakan teknik yang dipelajari dalam kehidupan seharian mereka.

Ia sangat penting untuk berikan anak-anak anda peluang untuk meneroka kemahiran mereka
yang tersembunyi dengan menyertai aktiviti sedemikian. Jadi, bawalah mereka ke The Artsy
Craftsy by Shia Lynn pada cuti sekolah ini.

MTMT Studios, Petaling Jaya

MTMT Studios, Petaling Jaya

Terletak di Petaling Jaya, MTMT Studios menawarkan pelbagai bengkel untuk anda dan anak-anak untuk mencuba. Terdapat pelbagai pilihan yang tidak terhad kepada melukis sahaja.

Malah ada juga bengkel penghasilan crochet, 3D painting, penghasilan barang kemas, seni tembikar dan juga kasut DIY. Pilih daripada mana-mana bengkel ini atau sertai kesemuanya dan tanamkan kemahiran baru pada anak-anak anda. Bengkel-bengkel ini juga berjalan pada waktu yang berlainan, jadi ibu bapa akan mempunyai masa yang fleksibel untuk menyertai bersama anak-anak mereka.

FabCafe Kuala Lumpur

FabCafe Kuala Lumpur

FabCafe Kuala Lumpur di Petaling Jaya ialah kafé yang menawarkan ruangan terbuka kepada sesiapa yang ingin menjalankan projek seni mereka.

Bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam, kafe ini beroperasi setiap hari kecuali Ahad. Dengan kemudahan dan gajet elektronik yang banyak, pelbagai projek seni boleh dihasilkan di kafe ini. Dari pencetak 3D, mesin sulaman dan mesin jahit, ianya sebuah tempat yang sesuai untuk menjadikan gambaran anda kepada realiti.

Tambahan pula, kafe ini menyajikan kopi, soda dan makanan ringan yang lazat seperti pastri dan kek untuk dinikmati sambil menyiapkan karya seni anda.


Pengarang :