Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur pada 19 Disember 2022. Foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

PM minta henti bangkit isu keabsahan, terus pandang ke depan

SHAH ALAM, 20 DIS: Perdana menteri meminta semua pihak supaya tidak lagi menimbulkan isu keabsahan kerajaan perpaduan yang ditadbirnya, sebaliknya terus pandang ke hadapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keabsahannya juga terbukti melalui usul undi percaya yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju di Dewan Rakyat semalam.

“Kerajaan Perpaduan menimbulkan sedikit pertikaian tetapi tidak diragukan keabsahannya. Sekiranya usul dibawa tidak dipersetujui dan tidak berpuas hati akan dibangkang, tetapi ia tidak berlaku. Terima kasih semua mengatakan perlu ‘move on’.

“Saya tidak berhajat untuk bangkitkan isu ini dan mahu tumpukan perhatian serta membetulkan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan, elakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun terus bertekad membersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa selain memperbaiki kepincangan pentadbiran kerajaan.

Semalam, keabsahan Anwar disahkan oleh Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan itu selepas undian suara dibuat sebaik dibahaskan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Usul itu dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Pengarang :