EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor di Dewan Kompleks Sukan Pendamaran , Klang pada 4 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program latihan kemahiran lahir tenaga kerja mahir, profesional dalam golongan B40

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 4 DIS: Kerajaan Negeri menerusi Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) menyumbang RM19,750 kepada Pertubuhan Kebajikan Siswa Siswi untuk program latihan dan jaminan kerjaya dalam sektor automotif.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata insiatif menerusi Danasiswa Pekerjaan Selangor itu memberi peluang kepada 75 individu mendapatkan latihan kemahiran di bawah Skim Latihan Dual Nasional berasaskan industri.

“Kerjasama antara UPPS, pertubuhan kebajikan siswa siswi dan syarikat Carsome membolehkan pelatih terpilih mendapat latihan sebagai pemeriksa kenderaan bermotor dan seterusnya bekerja dalam industri automotif.

“Bantuan ini membantu rakyat terutama golongan B40 untuk mengikuti latihan di akademi Carsome selama satu tahun iaitu tiga bulan kelas teori dan sembilan bulan latihan industri seterusnya menerima Sijil Kemahiran Tahap 3,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Danasiswa Pekerjaan Selangor, hari ini.

Ganabatirau berkata selepas tamat latihan pelatih yang berjaya akan diserap masuk untuk meneruskan perkhidmatan sebagai pekerja sepenuh masa di syarikat Carsome.

“Inisiatif danasiswa diperkenalkan bagi mencapai matlamat melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional,” katanya.


Pengarang :