Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli ketika ditemu bual media selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Anggota Jemaah Menteri di Istana Negara pada 3 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rafizi fokus lonjak ekonomi negara, bela kumpulan rentan

PUTRAJAYA, 5 DIS: Menteri Ekonomi yang baru dilantik, Mohd Rafizi Ramli menjelaskan fokus keseluruhan beliau adalah untuk membawa Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat tumpuan berterusan yang baik terhadap industri dan kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan status Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi.

“Terdapat banyak fokus untuk negeri-negeri yang buat masa sekarang ini tidak mengalami pertumbuhan yang baik, yang lebih ramai orang miskin.

“Fokus penting harus diberikan kepada kumpulan paling rentan dalam masyarakat dari segi ekonomi, tentang program pembasmian tegar dan sebagainya,” katanya semasa sidang media pertama selepas memasuki pejabatnya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata tumpuan juga akan berikan kepada matlamat pembangunan mampan (SDG) serta ekonom pengetahuan dan teknologi.

Bagaimanapun, perkara paling penting yang perlu dilakukan adalah memastikan wujud kepaduan yang kukuh daripada kepimpinan utama kerajaan sehingga ke peringkat bawah bagi memastikan perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, katanya.

Sementara itu, mengenai perubahan dasar, Mohd Rafizi berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang dasar namun akan meneliti semula perkara itu dengan maklumat lanjut dalam minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang.

Mengulas mengenai perkembangan Belanjawan 2023, beliau berkata kerajaan akan membentangkan belanjawan emolumen pada persidangan Parlimen akan datang, manakala bajet penuh akan dibentangkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

“Kita telah meneliti (belanjawan), dan ia berada pada tahap yang sangat mikro, dan sangat awal sekarang untuk mengatakan apa-apa,…kita akan melalui proses itu walau macam mana sekalipun,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :