EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Talian SELamat terima 53 panggilan kes keganasan rumahtangga

SHAH ALAM, 1 DIS: Talian SELamat menerima 53 panggilan berhubung kes keganasan rumahtangga sejak 1 November 2021 hingga 30 September tahun ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak 20 panggilan melibatkan keganasan jenis psikologi.

“Talian SELamat menawarkan perkhidmatan kaunseling atau psikologi bergantung kepada permasalahan pemandiri dengan menawarkan dua jenis sesi kaunseling sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

“Kes yang diterima dan ditangani melalui Talian SELamat akan menggunakan istilah sebagai kes rujukan dan yang tertinggi adalah rujukan kaunseling sebanyak 12 panggilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 10 panggilan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung Talian SELamat dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata talian berkenaan berjaya memberi impak positif selepas hampir setahun beroperasi kerana ia memudahkan mangsa mendapat rujukan.

“Talian ini juga memudahkan mangsa untuk mendapatkan bantuan seperti kaunseling dan bantuan guaman. Seramai 12 pemandiri telah menerima perkhidmatan kaunseling dari kaunselor berdaftar dan tiga pemandiri turut dirujuk dan mendapat bantuan dari Jabatan Bantuan Guaman.

“Ia juga membantu pihak bertanggungjawab seperti polis, JKM, pusat khidmat DUN dan lain-lain untuk mendapatkan input maklumat serta menangani kes dengan lebih cepat yang berkaitan permasalahan keganasan rumahtangga,” katanya.

Golongan yang memerlukan bantuan atau mengenali mereka yang perlu dibantu boleh menghubungi Talian SELamat di 03-6419 5027.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama kumpulan sukarelawan.


Pengarang :