Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek pada program Karnival Usahawan Selangor (KAWAN) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Turut sama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri ramah mesra bersama peniaga di Fiesta PLATS

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 3 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli merasmikan Fiesta Platform Selangor (PLATS) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Norashikin di Dataran Kemerdekaan Shah Alam disambut EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Baginda turut meluangkan masa hampir 30 minit melawat gerai dan beramah mesra dengan peniaga yang mengambil bahagian sempena karnival tersebut.

Hadir sama isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin diiringi oleh isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad dan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkenan melawat reruai pada program Karnival Usahawan Selangor (KAWAN) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Fiesta yang julung kali diadakan sempena Karnival Usahawan Selangor (KAWAN) 2022 disertai lebih 100 peniaga dan penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman.

Program yang menghimpunkan peniaga berdaftar menerusi PLATS bertujuan membantu perniagaan mereka lebih dikenali umum dalam usaha mencipta komuniti digital dalam kalangan pemilik perniagaan dan pengguna.

Pelbagai kegiatan menarik disediakan sepanjang dua hari karnival yang berakhir esok termasuk belon udara panas, gerai jualan mainan, dan melukis wajah (face painting).

Program anjuran bersama oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan MBI turut menyediakan pawagam terbuka antara jam 8 hingga 10 malam.

Orang ramai hadir pada program Karnival Usahawan Selangor (KAWAN) 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 3 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :