Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa dua mayat yang ditemukan pada hari kedua di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tragedi tanah runtuh: Dewan Rakyat ucap takziah kepada keluarga mangsa

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Jumaat lepas.

Datuk Johari Abdul dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menzahirkan kesedihan dengan insiden yang mengorbankan nyawa itu.

“Saya berharap agar keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dengan dugaan ini. Saya bagi pihak Ahli-ahli Dewan (Dewan Rakyat) dan pihak Parlimen sesungguhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat terutamanya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan.

Johari kemudiannya meminta semua Ahli Parlimen berdiri dengan yang beragama Islam menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah, manakala bukan beragama Islam bertafakur selama seminit.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya itu.

– BERNAMA


Pengarang :