Anggota Infrasel Sdn Bhd giat memasang kanvas di kawasan cerun seksyen 13.200, Jalan Batang Kali-Genting bagi mengurangkan risiko tanah runtuh pada 18 Disember 2022. Foto Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak tanah runtuh, Infrasel pasang kanvas kawasan cerun Batang Kali

SHAH ALAM, 19 DIS: Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memasang kanvas di kawasan cerun Seksyen 13.200, berhampiran lokasi tragedi tanah runtuh di Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor semalam.

Syarikat penyelenggaran jalan negeri memaklumkan pemasangan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh dilakukan 12 kakitangan bermula jam 10 pagi hingga 12.40 tengah hari.

“Anggota terbabit meneruskan kerja menghamparkan ‘crusher run’ (batu kasaran) di kawasan bahu jalan di tapak runtuhan jam 10 pagi hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Infrasel turut memaklumkan setakat ini laluan Batang Kali-Genting masih ditutup kepada orang awam atas arahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Kerja menyelamat mangsa insiden tanah runtuh masih dijalankan anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart),” katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Kerja Raya Selangor memaklumkan penutupan jalan laluan B66 Batang Kali-Genting susulan kejadian tanah runtuh di Seksyen 14, Laluan B66 di tepi jalan raya yang membahayakan pengguna.

Orang awam yang ingin ke Genting Highland dinasihatkan menggunakan jalan alternatif B113 (Jalan Batang Kali-Ulu Yam) sehingga B23 (Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau menggunakan laluan utama FT001 (Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).


Pengarang :