Kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer(KM)) 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite menyebabkan pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada 24 Disember 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Tumpahan pati wangi dalam nahas lori punca pencemaran bau

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 24 DIS: Punca pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pagi tadi dikenal pasti akibat tumpahan cecair daripada insiden kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer(KM)) 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan kemalangan tersebut berdekatan Bandar Serenia di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan menyebabkan pencemaran bau di dalam aliran air Sungai Semenyih.

Pencemaran bau itu menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) dihenti tugas.

“Jarak lokasi kemalangan itu ke LRA Semenyih adalah 6.4 kilometer. LRA Semenyih telah dihenti tugas pada jam 2 pagi tadi,” katanya menerusi Facebook hari ini.

LUAS menjelaskan pihaknya sedang mengusahakan tindakan segera pembersihan sepenuhnya kesan tumpahan tersebut bagi membolehkan operasi LRA diaktifkan semula.

“Kami juga telah mengaktifkan pemantauan rapi di sepanjang aliran sungai dari kawasan kemalangan ke LRA bagi memastikan aliran pemcemaran dibersihkan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas sementara LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

Ia berikutan insiden pencemaran bau di stesen pam air Jenderam Hilir dan menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Agensi itu meminta pengguna merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi termasuk Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :