Pertukaran dokumen MoU antara Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed, Pengarah IRCIEF, UIS dan Mr. Omar Mustafa Ansari, Setiausaha Agung AAOIFI. Foto UIS
AGENSISELANGOR

UIS jalin kerjasama dengan organisasi perakaunan perkukuh pengajian perbankan, kewangan Islam

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 5 DIS: Universiti Islam Selangor (UIS) menjalinkan kerjasama dengan Organisasi Perakaunan dan Institusi Kewangan Islam (AAOIF) bagi mengukuhkan pengajian perbankan dan kewangan Islam di negara.

Kerjasama itu turut merangka penyelidikan dalam bidang berkaitan menerusi Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) UIS.

“UIS juga bakal menjadi pusat peperiksaan bagi kursus-kursus yang ditawarkan AAOIF mulai Mei 2023,” menurut pusat pengajian itu dalam kenyataan.

AAOIF merupakan institusi Islam antarabangsa yang mengeluarkan standard perakaunan, pengauditan, urus tadbir, etika dan shariah untuk industri kewangan Islam di dunia.

AAOIF menawarkan kursus seperti Akauntan Profesional Islam Bertauliah, Penasihat Syariah, Juru Audit Bertauliah dan Kemahiran dalam Piawaian Perakaunan Kewangan Bertauliah.

Kerjasama itu dimeterai dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Persidangan Tahunan Perbankan dan Kewangan Islam ke-17 dekat Bahrain, 27 November lepas.

Setakat ini, UIS menawarkan Sijil Shariah Ekonomi Perbankan dan Kewangan Islam dengan 21 peserta kohort pertama yang terdiri daripada kakitangan swasta, akademik dan pelajar.

 


Pengarang :