Pengurus Besar Kanan Keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azilah Arshad (tengah) menyampaikan hadiah tempat pertama Program Usahawan Siswazah (GROW) PKNS 2022 kepada Khairul Najib Asarulah Khan pada Majlis Graduasi Program Usahawan Siswazah (GROW) PKNS 2022 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam. pada 14 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahawan siswazah raih jualan RM11.4 juta, tertinggi sejak 16 tahun

SHAH ALAM, 14 DIS: Sejumlah RM11.4 juta nilai jualan berjaya diraih 30 peserta program Usahawan Siswazah (GROW) dalam tempoh enam bulan, rekod tertinggi sepanjang 16 tahun penganjuran.

Menurut pengurus besar kanan keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), jumlah itu meningkat 65.3 peratus berbanding RM7 juta yang direkodkan pada 2019.

“Tahun ini mereka berjaya mencatat jualan lebih RM11 juta walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kebanyakan industri sedang melaksanakan pelan pemulihan perniagaan.

“Sepanjang penganjuran GROW, pelbagai pencapaian lain direkodkan peserta antaranya peningkatan ejen dan stokis, peluang kerja tetap dan separuh masa serta margin keuntungan sebanyak 15 peratus,” kata Azilah Arshad hari ini.

Ditemui pada Majlis Graduasi Program GROW di bangunan ibu pejabat PKNS di sini, beliau berkata program bermula Mei hingga Oktober lalu mendedahkan usahawan berusia 21 hingga 35 tahun dengan bimbingan dan latihan meliputi 10 modul.

Beliau menjelaskan modul itu antaranya pengurusan strategik, model perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran secara konvensional dan digital, pembangunan produk dan eksport, pengurusan sumber manusia serta pensyarikatan.

“Inisiatif ini diteruskan bagi membimbing usahawan siswazah yang berpotensi dengan ilmu keusahawanan supaya mereka boleh merancang dan melaksanakan strategi pemasaran inovatif.

“Kita harap ia membantu mengembangkan empayar usahawan sekali gus merancakkan ekosistem ekonomi Selangor selain memberi kesedaran kepada golongan muda pentingnya memulakan perniagaan dengan ilmu dan bimbingan,” katanya lagi.

Terdahulu, lima peserta akhir dipilih dalam sesi ‘pitching’ untuk membentangkan produk, strategi jualan dan prestasi perniagaan bagi merebut gelaran juara keseluruhan GROW 2022.


Pengarang :