Ketua Pegawai Eksekutif  Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek bercakap kepada Media Selangor selepas majlis sumbangan bantuan bencana banjir kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di Hotel Glemarie, Shah Alam pada 14 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI pergiat usaha promosi skim insurans percuma di media sosial

SHAH ALAM,14 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI giat mempromosi skim Insurans Am Selangor (INSAN) menerusi media sosial.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha itu bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat inisiatif Kerajaan Negeri.

“Kita sasar pendaftaran seramai enam juta rakyat, bagi mencapai sasaran itu pelbagai usaha dilakukan termasuk di media sosial supaya lebih ramai mendaftar.

“Bukan itu sahaja, sekiranya terlibat dengan mana-mana program menjadi pempamer seperti di Jelajah Selangor Penyayang kita bawa juga kepada masyarakat selain turun padang ke jabatan kerajaan serta pejabat ahli dewan negeri dan penyelaras,” kata Norita Mohd Sidek hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif  Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (tengah)
bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor Mohd Razuki Sibi(dua, kanan) bergambar bersama barangan sumbangan ketika majlis sumbangan bantuan bencana banjir Kepada JKM Selangor di Hotel Glemarie, Shah Alam pada 14 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan bencana banjir sumbangan MBI kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor yang diwakili Timbalan Pengarahnya Mohd Razuki Sibi.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan bagi menyertai program skim insurans percuma ini hanya nombor kad pengenalan atau alamat didaftarkan serta pengundi di Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Setakat 17 November lalu, seramai 3.56 juta penduduk di negeri ini memohon INSAN manakala sebanyak 1,584 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net


Pengarang :