Exco Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (tengah) bergambar selepas melancarkan Program Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Warga emas terima baucar beli-belah RM150, daftar mulai 1 Januari 2023

SHAH ALAM, 22 DIS: Warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bakal menerima baucar beli-belah RM150 setahun dan khairat kematian RM500 menerusi Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menjelaskan program yang distruktur semula daripada Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dengan dana RM37.5 juta boleh dimohon mulai 1 Januari 2023.

“Sebelum ini ramai tidak tahu program SMUE turut terbuka kepada OKU tanpa mengira had umur. Hanya 5.5 peratus sahaja berdaftar. Sebab itu kita struktur semula supaya ia lebih bersasar,” katanya.

Beliau bercakap demikian selepas melancarkan program berkenaan di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program SMIS kendalian Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 bulan lalu.

Beliau turut memaklumkan had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping ditingkatkan daripada RM2,000 sebulan kepada RM3,000 sebulan mulai tahun depan.

Ketika ini, peserta yang berdaftar bawah program SMUE menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka, yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat.


Pengarang :