Majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Bilik Mesyuarat Kenanga MBSJ pada 5 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

23 ahli majlis MBSJ angkat sumpah, gabungan lama dan baharu realisasi visi

SUBANG JAYA, 5 JAN: Lapan individu dilantik sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi penggal 2023 hari ini.

Mereka mengangkat sumpah sebagai ahli majlis dihadapan Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar dengan disertai 15 ahli majlis sedia ada serta membuat perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan ikrar Akujanji.

Johary ketika berucap berkata untuk lantikan bagi penggal ini, 17.3 peratus adalah wanita manakala selebihnya ahli majlis lelaki.

“Menerusi gabungan lama dan baharu ini diharap dapat membantu MBSJ merealisasikan visi dan misi bandar raya sekali gus mewacanakan Pelan Strategi Subang Jaya 2020-2025.

“Pengalaman yang ada pada setiap ahli majlis juga diharap dapat membantu dalam menggubal dasar untuk pembangunan mampan bertaraf antarabangsa di samping berganding bahu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bergambar bersama semua ahli majlis selepas upacara mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Bilik Mesyuarat Kenanga MBSJ pada 5 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Johary turut mengingatkan ahli majlis dilantik terikat dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976(Akta 171) dan kesalahan boleh disabit Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kanun keseksaan.

“Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor pada 2021 merangkumi kriteria pemilihan dan lantikan ahli majlis, penubuhan jawatankuasa, pengendalian mesyuarat, penilaian prestasi, larangan dan tarikh kuat kuasa.

“Merujuk garis panduan ini, semasa mesyuarat majlis, jelas menyatakan etika dan arahan yang perlu dipatuhi ahli majlis dan tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang surat sokongan bagi mendapatkan kerja, bekalan dan perkhidmatan daripada pihak berkuasa negeri.

“Namun, surat sokongan untuk tujuan kebajikan dibenarkan demi membantu golongan tidak berkemampuan, berdasarkan kelayakan dan merit yang ditetapkan. Surat perlu diserahkan salinan kepada pihak majlis bagi tujuan rekod dan simpanan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengumumkan seramai 272 ahli majlis 12 pihak berkuasa tempatan dilantik bagi penggal 2023.

Daripada jumlah itu, 28 peratus atau 76 pelantikan merupakan ahli majlis wanita.


Pengarang :