Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima ketika majlis serahan sumbangan dan bantuan DUN Sungai Tua di Dewan Terbuka Batu Caves, Gombak pada 15 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONAL

Bantuan Kerajaan Negeri bantu ibu anak hidap talasemia miliki pam infusi

GOMBAK, 16 JAN: Kebuntuan seorang ibu mencari wang bagi membeli pam infusi untuk merawat anaknya yang menghidap talasemia berakhir apabila menerima bantuan Kerajaan Selangor.

Adlina Anuar, 40, dari Kampung Sungai Kertas di sini menerima sumbangan RM3,000 selepas memohon kepada Ahli Dewan Negeri Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari.

Adlina Anuar, 40. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ibu tiga anak itu mengakui tidak mampu membeli peralatan diperlukan puteri sulungnya Kartina Dabalqis Mohd Zuldi, 11, selepas didiagnos penyakit itu sejak usia sembilan tahun memandangkan kos yang mahal.

“Sejak disahkan menghidap talasemia, setiap malam pam infusi yang dipinjamkan hospital perlu dipasang pada perutnya selama lapan jam selain sampel darah diambil empat kali sebulan.

“Ubat pun sudah tidak membantu kerana dia memang perlu bergantung sepenuhnya dengan pam berkenaan, jadi apabila dapat bantuan ini, saya sangat lega dan bersyukur. Saya boleh beli pam infusi untuk anak saya.

“Kalau mahu mengharapkan gaji saya dan suami yang bekerja sendiri memang tidak mampu kerana ia menjejaskan perbelanjaan lain. Saya berterima kasih kepada beliau (Amirudin) yang sudi menghulurkan bantuan ini,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Sementara itu Nazir Masjid Lama Batu 6, Gombak berkata bantuan van jenazah adalah hadiah paling bermakna sempena tahun baharu selain memudahkan pengurusan jenazah kariah di kawasan setempat.

Zulkahfi Ibrahim, 66, berkata van jenazah sedia ada sering rosak dan tabung diwujudkan badan khairat kematian tidak cukup untuk menampung kos van baharu yang mencecah RM100,000.

Nazir Masjid Lama Batu 6, Gombak, Zulkahfi Ibrahim (kiri) dan Biro Pengurusan Jenazah Ahyar Osman memegang replika kunci bersama van jenazah yang diterima ketika majlis serahan sumbangan dan bantuan DUN Sungai Tua di Dewan Terbuka Batu Caves, Gombak pada 15 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Van yang ada sebelum ini selalu rosak walaupun banyak kali dibaiki dan wang tabung tidak cukup kalau mahu beli yang baharu walaupun setiap tahun ahli sumbang RM100 seorang.

“Apabila ada kariah meninggal dunia kami perlu keluarkan RM1,500 untuk pengurusan jenazah, jadi kami panjangkan kepada pegawai beliau (Amirudin). Alhamdulillah terima maklum balas positif dan saya anggap ia satu anugerah berharga tahun baharu,” katanya.


Pengarang :