Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram dijual pada harga RM30.90 sepanjang 8 Januari hingga 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Harga minyak masak botol 5kg kekal RM30.90 hingga 7 Februari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol dikekalkan bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari ini walaupun harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90.

Beliau berkata harga runcit maksimum itu ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022, mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

“Mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga mengucapkan terima kasih kepada pemain industri pengeluar minyak masak sawit tulen melalui libat-urus yang dijalankan telah bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga sedia ada sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Salahuddin menggalakkan pengguna agar dapat menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen botol di pasaran ke saluran WhatsApp 019- 279 4317 atau 019-848 8000, portal e-aduan.kpdnhep dan melalui Call Centre 1-800-886-800.

Maklumat juga boleh dikemukakan dengan menghantar e-mel ke [email protected], menghubungi Ez ADU KPDNHEP serta Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/6245. – BERNAMA


Pengarang :