Pemain badminton beregu campuran negara Yap Cheng Wen. Foto Instagram Yap Cheng Wen
AGENDA SUKANKINI

Cedera bahu kiri, Cheng Wen terpaksa tinggalkan skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kecederaan di bahu kiri yang dialami pemain badminton beregu campuran negara Yap Cheng Wen, memaksanya untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kariernya sebagai atlet kebangsaan.

Atlet berusia 27 tahun itu memaklumkan, keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat pakar perubatan dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialaminya.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut hala tuju kerjayanya selepas ini, atlet kelahiran Melaka itu tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan minatnya dalam sukan tersebut sebagai jurulatih.

“Tetapi saya juga ada perancangan lain yang saya mahu buat untuk karier saya,” katanya hari ini.

Dua hari lepas, Cheng Wen mengesahkan telah meninggalkan BAM menerusi akaun Instagramnya, selepas 15 tahun berada dalam pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini, berkata Cheng Wen telah menyuarakan kehendaknya sejak awal tahun lepas lagi.

“Dia (Cheng Wen) memang sudah merancang sejak awal 2022, dia kata dia akan cuba bertahan sepanjang 2022, tetapi ternyata pemeriksaan terakhir imbasan pengimejan resonan magnetik (MRI), doktor kata memang koyak di bahu kirinya.

“Semasa di Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia lagi dia sudah tidak selesa bermain…dia tiada masalah lain di BAM, jadi dia memang dah melepaskan badminton,” katanya.

Selain Cheng Wen, jurulatih beregu campuran Teo Kok Siang, turut memaklumkan akan meninggalkan BAM menerusi akaun Instagramnya.

Mengulas mengenai keputusan Kok Siang itu, Rexy memaklumkan perkara itu tidak mengganggu struktur barisan kejurulatihan beregu campuran di BAM, yang kini berada dalam keadaan baik dengan kehadiran jurulatih beregu campuran baharu Nova Widianto, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata BAM bakal menambah seorang lagi pembantu jurulatih bagi beregu lelaki dalam masa terdekat. – BERNAMA


Pengarang :