Rodziah Ismail (kanan) melihat contoh pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) dan solar selepas Majlis Pelancaran Program Bangunan Hijau Ke Arah Kesejahteraan Bandar di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ke arah sifar karbon, negeri sasar pasang 500,000 lampu LED di rumah strata

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri menyasarkan pemasangan hingga 500,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) di 200 skim perumahan berstrata pada tahun ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata inisiatif tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan serta membantu pengurangan pelepasan karbon selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Setakat ini, kami berjaya membuat kajian tapak untuk 237 skim strata dengan lampu LED sebanyak 555,581 lampu.

“Dapatan menunjukkan untuk yang telah memasang lampu ini penjimatan elektrik sebanyak 49 peratus hingga 80 peratus dapat dinikmati,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah dalam sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini turut memaklumkan kempen pemasangan LED, sistem solar dan perumahan air hujan (SPAH) di semua bangunan akan diperluas bagi memerangi perubahan iklim dalam industri hartanah.

Pada Julai tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara lain memberi fokus untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Kempen sepanjang lima tahun RS-1 melibatkan bangunan strata kediaman kerajaan pusat dan swasta, bangunan pejabat, hospital, sekolah, kolej, universiti, stadium, pasar, pusat membeli-belah serta kilang.


Pengarang :