Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir, Dato’ Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad, Shahrul Azuan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim bergambar selepas majlis perasmian pusat inovasi dan pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara pada 13 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS, Etiqa perkasa pendidikan kanak-kanak asnaf, miskin bandar menerusi Al-Biruni

Oleh DIANA ABD WAHAB

PUCHONG, 13 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan usaha memperkasa pendidikan kanak-kanak asnaf dan miskin bandar menerusi pembukaan pusat inovasi dan pembelajaran Al-Biruni ketiga di Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara, di sini hari ini.

Kerjasama bersama Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad itu menyediakan ruang belajar, ruang santai dan bilik bacaan untuk golongan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS berkata pembukaan pusat itu sejajar usaha memperkasa pendidikan khususnya generasi kedua golongan asnaf.

“Al-Biruni Zakat Selangor sediakan ruang belajar dan bersosial yang selamat serta kondusif.

“Selain itu kita turut sediakan bantuan akademik bagi memastikan kanak-kanak dalam kelompok ini tidak tercicir dalam pelajaran,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Majlis perasmian turut dihadiri Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron.

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir (empat kiri) ditemani Dato’ Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) ketika melawat pusat inovasi dan pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara pada 13 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mohd Sabirin berkata Al-Biruni menggunakan dua unit pangsapuri milik LZS yang telah diubah suai di kawasan itu.

Kos ubah suai, pembelian peralatan dan kelengkapan termasuk pengurusan operasi selama dua tahun disumbangkan Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad dengan jumlah keseluruhan RM640,000.

Mohd Sabirin berkata aktiviti di Al-Biruni menyasarkan kanak-kanak asnaf dan miskin bandar berusia antara 7 hingga 17 tahun.

Beliau turut memaklumkan dua lagi pusat Al-Biruni masing-masing beroperasi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari, Petaling Jaya sejak 2019 dan Tanjong Karang pada 2021.

Operasi digerakkan oleh Adab Youth Garage (AYG) bagi melaksanakan program pembangunan akademik dan sosial yang telah dirancang.

Al-Biruni Zakat Selangor adalah projek perintis LZS, di bawah Program Pembangunan Kanak-kanak Miskin Bandar sebagai langkah pertama LZS dalam usaha menyantuni masyarakat miskin bandar di Selangor.

Projek ini bertitik tolak daripada laporan kaji selidik yang diterbitkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (UNICEF) pada Februari 2018 bertajuk ‘Kanak-kanak Pinggiran’ berkisar masalah kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.


Pengarang :