Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais: Kutipan wakaf Selangor 2022 catat hasil RM64.4 juta

SHAH ALAM, 27 JAN: Kutipan wakaf di Selangor merekodkan prestasi memberangsangkan apabila memperoleh hasil RM64.4 juta melebihi sasaran ditetapkan RM50 juta pada 2022.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kutipan dikendali Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) itu merekodkan pencapaian keseluruhan 129 peratus.

“Kutipan wakaf ini merangkumi kutipan dari Wakaf Tunai berjumlah RM10.8 juta, Wakaf Khas berjumlah RM51.9 juta dan Manfaat Wakaf berjumlah RM1.7 juta.

“PWS perlu mensasarkan kutipan wakaf sebanyak RM500 juta untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang,” katanya pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata kutipan wakaf tunai boleh dipertingkatkan lagi melalui promosi dan pemasaran yang lebih hebat kepada syarikat, tokoh korporat dan skim potongan gaji.

Beliau menambah tabung wakaf juga boleh diperluaskan di lokasi awam seperti pejabat daerah, pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT), pasar raya dan sebagainya.

“Kita mahu beri kesedaran, betapa pentingnya wakaf sama ada melalui wang tunai atau harta. Pahala wakaf ini berterusan sampai bila-bila dan nilainya adalah sangat besar di sisi Islam,” katanya.


Pengarang :