Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan sumbangan kepada Nuraleesha Afreen yang mewakili Malaysia ke pusingan akhir pertandingan International Hippo Olympiad di Itali pada 11 Januari 2013. Foto MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI agih RM1 juta taja individu, kumpulan harumkan nama Selangor

SHAH ALAM, 12 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1 juta setahun bagi membantu individu atau pihak yang berpotensi mengharumkan nama Selangor.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif menerusi dana pengupayaan itu merupakan dorongan atau penghargaan Kerajaan Negeri kepada penerima yang membawa nama Selangor ke mata dunia.

“Bantuan ini juga terbuka kepada kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mampu memberi impak positif kepada Selangor. Semalam kita serahkan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai.

“Adik Nuraleesha Afreen mewakili Malaysia ke pusingan akhir pertandingan International Hippo Olympiad di Itali. Sumbangan berjumlah RM10,000 untuk menampung kos belanja dan penerbangan,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Azri berkata tahun lalu MBI menaja atlet kelahiran Selangor Qaseh Rania Khairul Najib, 13, dan berbangga dengan pencapaian pelajar itu ketika ini.

“Rania muncul dalam video promosi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 yang turut ditayangkan di Stadium Bukit Jalil. Saya bersyukur Rania kini mula dikenali ramai.

“MBI tampil memberi peluang kepada Rania untuk menunjukkan kebolehannya ketika tiada pihak mahu menaja. Ternyata usaha kita berbaloi,” katanya.

Tahun lalu, Rania dan abangnya Luth Qayyim, 16, menerima tajaan MBI bagi mengikuti program bersama kelab bola sepak divisyen satu Croatia, NK Osijek.


Pengarang :