Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA anjur pertandingan inovasi, tawar hadiah keseluruhan RM25,900

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 13 JAN: Warga Shah Alam yang kreatif dan berinovasi dijemput menyertai pertandingan Persona Inovasi Shah Alam (PISA) 2023 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM25,900.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu warga kerja MBSA (penyertaan dalaman), komuniti atau penduduk, sekolah atau tadika dan agensi kerajaan atau swasta yang beroperasi di bandar raya ini (penyertaan luaran).

Menurut kenyataan MBSA, pertandingan bertemakan ‘Inovasi Pemangkin Warga Kreatif Melestarikan Kehidupan’ itu boleh disertai secara perseorangan, kumpulan kecil tidak melebihi tiga orang dan kumpulan hibrid tidak melebihi 10 orang.

“Peserta dikehendaki menghantar video berdurasi 10 hingga 15 minit yang mengandungi idea atau ciptaan kreatif dan inovatif yang ingin dipertandingkan.

“Kandungan video mestilah tidak menyentuh sensitiviti dan video berkumpulan akan ditayangkan semula semasa sesi penjurian oleh MBSA,” katanya.

Kenyataan itu memberitahu, hadiah wang tunai antara RM200 hingga RM1,000 akan diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi penyertaan perseorangan dan kumpulan untuk setiap kategori.

“Dua peserta terbaik daripada penyertaan dalaman dan luaran akan menerima hadiah utama berupa wang tunai RM3,000. Semua peserta akan menerima sijil penghargaan,” tambahnya.

Tarikh tutup pertandingan ialah 30 Januari ini dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Latihan, Kualiti dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Khidmat Pengurusan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1321 atau 1817.


Pengarang :