Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Taman Greenwood, Batu Caves pada 31 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk beratur seawal 7 pagi, beli barang dapur pada harga murah

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 31 JAN: Lebih 300 pengunjung beratur seawal jam 7 pagi bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga murah di Jualan Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, hari ini.

Pegawai Operasi Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras DUN Gombak Setia Din Yahaya berkata perkongsian hebahan program di Facebook dan WhatsApps menarik ramai pengunjung ke tapak Pasar Malam Taman Greenwood, Gombak.

Pegawai Operasi PKM Penyelaras DUN Gombak Setia, Din Yahaya di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Taman Greenwood, Batu Caves pada 31 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Ramai yang berkongsi (hantaran) di Facebook, jadi hari ini ramai (pengunjung) yang sudah menunggu sejak awal pagi.

“Nombor giliran juga habis diedar kira-kira 9 pagi tadi. Ramai yang tidak berjaya mendapatkan nombor jadi kita hadkan pembelian kerana masih ada yang menunggu walaupun tiada nombor giliran,” katanya.

Menurut Din, maklum balas positif diterima daripada penduduk yang mahukan program terus dianjurkan serta tambahan kuantiti produk.

“Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan program ini kerana banyak memberi manfaat kepada penduduk namun dari segi penambahbaikan, kita harap kuantiti barang dapat ditambah lagi pada masa hadapan,” katanya.

Bagi pesara kerajaan, R. Seelan, 62, penganjuran JER semakin baik dan tidak kisah beratur lama kerana program ini sangat diperlukan rakyat.

“Saya tiba seawal 7.45 pagi, 10.30 pagi baru dapat beli. Kita memang perlukan program seperti ini yang banyak membantu keluarga kurang kemampuan.

“Bagi saya penganjuran program JER ini semakin baik, namun hebahan awal dapat memudahkan orang ramai bersedia dan kurangkan kesesakan,” katanya yang beratur hampir sejam bagi mendapatkan nombor giliran.

Dayang Suraya Jaafar di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Taman Greenwood, Batu Caves pada 31 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Bagi pembantu jualan, Dayang Suraya Jaafar, 37, pernah memohon masuk kerja lambat agar tidak terlepas berkunjung ke program JER.

“Saya tiba jam 9 pagi tadi, memang sesak. Kadangkala terpaksa mohon masuk kerja lambat semata-mata untuk ke program ini,” katanya yang sudah lima kali berkunjung ke program tersebut.

Suri rumah, Zarina Samsudin, 37, lega sempat mendapatkan nombor giliran yang terakhir walaupun harus menunggu sehingga tengah hari.

“Saya dan ibu dapat nombor yang terakhir. Tidak mengapalah, walaupun perlu menunggu lama, sekurang-kurangnya program jualan murah ini ramai penduduk mampu beli. Ada yang melihat bezanya (harga) sedikit tapi pada golongan B40, ia tetap memberi kesan yang besar,” katanya.


Pengarang :