Penyedia dan pengendali makanan serta minuman di gerai Sri Dahlia, Medan Selera MPS, Gombak memakai pelitup muka, penutup kepala dan apron bagi meningkatkan tahap kebersihan dan mematuhi syarat lesen Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika tinjauan di premis berkenaan pada 3 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pengendali makanan berdepan kompaun jika tidak pakai pelitup muka

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengeluarkan kompaun atau denda terhadap peniaga makanan sekitar Ampang Jaya yang tidak mengenakan pelitup muka.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata tindakan itu akan dilaksana secara berperingkat memandangkan MPAJ sudah mengedarkan notis di premis dan tapak penjaja dalam kawasan pentadbirannya.

“Selain itu notis turut diberikan melalui e-mel kepada semua pemegang lesen serta pemakluman di laman sesawang MPAJ,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Fauzi pemeriksaan secara berkala juga akan dilaksanakan sebagai langkah memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan itu.

Beliau menegaskan semua pengendali makanan dan penjaja perlu patuhi arahan tersebut memandangkan ia telah menjadi syarat bagi lesen premis makanan dan penjaja di kawasan MPAJ.

“Tindakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) MPAJ Tred Perindustrian MPAJ 2007 4(4)(c) atas kesalahan melanggar syarat lesen boleh dikenakan sekiranya pengendali makanan di kawasan MPAJ gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Disember lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penjaja dan pengusaha restoran di negeri ini wajib memakai pelitup mulai 1 Januari 2023 bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :