Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Kerajaan Negeri mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga makanan wajib pakai pelitup muka, MPSepang tingkat penguatkuasaan

SEPANG,4 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memberi tempoh sebulan kepada penjaja dan pengusaha restoran mempraktikkan pemakaian pelitup muka semasa mengendali makanan.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu diputuskan Kerajaan Negeri dalam memastikan tahap kebersihan peniaga terjaga.

“Kita akan beri nasihat dahulu kepada peniaga dalam tempoh sebulan dan jika gagal patuhi tindakan bersesuaian akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Pemantauan akan dibuat beberapa jabatan iaitu perlesenan, penguatkuasa dan kesihatan. Kita berharap pemilik premis yang dapat lesen dapat mematuhinya kerana ia dimasukkan dalam syarat-syarat lesen,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) sebagai ahli majlis MPSepang melibatkan seramai 23 individu bagi penggal 2023.

Turut mengangkat sumpah Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin yang kini dilantik sebagai timbalan yang dipertua baharu.

Pada 29 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan


Pengarang :