Penyokong menyaksikan aksi terakhir kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 antara Malaysia dan Singapura melalui tayangan skrin besar di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Seksyen 52, Petaling Jaya pada 3 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sorakan gembira penyokong Harimau Malaya bergema di Laman MBPJ

Oleh SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 3 JAN: Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Seksyen 52 di sini bergema dengan sorakan lebih 50 penyokong yang meraikan kemenangan Harimau Malaya menundukkan Singapura 4-1.

Perlawanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi dipaparkan secara langsung menerusi layar besar di laman berkenaan.

Selain menonton, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai juadah dan minuman yang dijual oleh beberapa pengusaha kendera saji.

Orang ramai menikmati juadah di tapak kendera saji sambil menyaksikan saingan terakhir kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 antara Malaysia dan Singapura melalui tayangan skrin besar di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Seksyen 52, Petaling Jaya pada 3 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengurus Restoran Nuralya Nabila Muhammad, 26, yang hadir sejak petang berpuas hati dengan kualiti tayangan selain ruang menonton yang selesa lagi santai.

“Kualiti tayangan sangat bagus, ruang menonton juga selesa dan santai. Makan dan minum sambil menonton,” katanya.

Sementara jurutera Ahmad Yasin, 59, tidak melepaskan peluang untuk menonton perlawanan berkenaan sebaik tamat waktu kerja.

“Saya baru pulang (kerja), terus singgah ke sini untuk makan dan menonton (perlawanan). Jika mahu pulang (ke rumah), pasti tidak sempat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Asri Ahmad, 54, pula hadir bersama rakan-rakan daripada kumpulan motorsikal berkuasa tinggi memberi sokongan kepada pasukan Malaysia.

“Saya bersama rakan-rakan yakin Malaysia mampu menang malam ini, sebab itu kami hadir (beri sokongan),” katanya.

Malaysia layak ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu Thailand selaku juara Kumpulan A manakala Indonesia akan menentang Vietnam.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia mendahului menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-35, dua gol dijaringkan Stuart Wilkin pada minit ke-50 dan 54 sebelum Sergio Aguero melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya pada minit ke-88. Gol saguhati Singapura dijaringkan Faris Ramli pada minit ke-85.


Pengarang :