Pemain tengah negara Stuart John Wilkin (tiga kiri) menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Singapura pada 3 Januari 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Piala AFF: Kemarau belum berakhir, skuad tumpul tanpa ‘pemain utama’

OLEH FAYSAL AMANI

SHAH ALAM, 31 JAN: Jurang terlalu jauh! Itu pemerhatian bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan selepas ngauman Harimau Malaya disekat Gajah Perang pada separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN pada 10 Januari.

Kekalahan kepada Thailand di Bangkok menandakan berakhirnya cabaran Malaysia pada edisi kali ini, seterusnya kemarau kejuaraan berterusan lebih 12 tahun.

Kali terakhir skuad kebangsaan menjulang Piala AFF ialah pada 2010 ketika dibimbing Datuk K Rajagobal serta dibarisi pemain seperti Safee Sali serta Norshahrul Idlan Talaha.

Ternyata ‘skuad B’ Malaysia belum mampu mencabar dua jaguh rantau Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam, khususnya tanpa kehadiran ‘pemain-pemain utama’.

Dalam saingan kali ini, skuad bimbingan ketua jurulatih, Kim Pan Gon tewas dua kali – masing-masing 0-3 kepada Vietnam dan Thailand.

Bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan. Foto SELANGORKINI

Ia sekali gus memberi petunjuk tanpa pemain-pemain utama khususnya dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023, taring Harimau Malaya tumpul.

Namun, anak kelahiran Negeri Sembilan itu masih memuji ‘mesin’ Harimau Malaya kali ini yang masih mampu layak sehingga ke separuh akhir walau tidak diberikan harapan tinggi.

Sathianathan berkata peminat tidak boleh ‘meminta lebih’ daripada skuad Harimau Malaya kali ini.

Sukar bersaing

Menurut pengendali berpengalaman berusia 64 tahun itu, pemain-pemain telah memberikan segalanya serta mempamer semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan.

“Mara ke separuh akhir tanpa pemain-pemain utama adalah sesuatu yang membanggakan. Cuma apa yang terlihat pada Piala AFF adalah jurang skuad ini tanpa pemain utama, begitu jauh jika dibandingkan dengan Vietnam dan Thailand.

“Tanpa pemain-pemain yang beraksi ketika pusingan kelayakan Piala Asia lalu, kita sukar memberi saingan kepada dua pasukan itu.

“Benar, kita membelasah Singapura 4-1 di peringkat kumpulan, tetapi Singapura juga jurangnya terlalu jauh dengan Thailand dan Vietnam.

“Semangat sahaja tidak cukup untuk memberi tentangan kepada Thailand dan Vietnam kerana kedua-duanya adalah pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Azam Azmi Murad diasak tiga pemain Thailand pada aksi perlawanan separuh akhir kedua AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada 10 Januari 2023. Foto BERNAMA

Bagaimanapun, Sathianathan yang pernah membimbing Selangor FC selama tiga musim dari 2018 sehingga 2020 berkata, apa yang positif daripada kejohanan kali ini Pan Gon dapat mengenal pasti kelompok pemain baharu untuk diserap ke skuad utama bagi saingan Piala Asia nanti.

Beliau turut menamakan beberapa pemain yang menurutnya beraksi dengan cemerlang pada Piala AFF dan wajar diberi peluang untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya.

“Pemain seperti Faisal Halim memang kita tahu adalah tonggak Harimau Malaya ketika pusingan kelayakan Piala Asia lalu. Pan Gon tentu cukup mengenali pemain ini.

“Pada masa sama, pemain lain antaranya Brendan Gan, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng, V Ruventhiran dan Dominic Tan telah mempamerkan persembahan terbaik buat Malaysia.

“Saya fikir pemain-pemain ini layak diserapkan ke dalam skuad utama bersama pemain-pemain yang beraksi pada pusingan kelayakan Piala Asia lalu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Jun lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Antara pemain yang beraksi ketika itu tetapi ‘berehat’ daripada mewakili Harimau Malaya ke Piala AFF adalah Arif Aiman, Matthew Davies, Shahrul Saad, Corbin Ong, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid serta Dion Cools.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.


Pengarang :