Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan sumbangan kepada ibu sembilan anak Suzana Abd Shattar di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 20 Januari 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Ringan beban sembilan beradik yatim, LZS bantu wang bulanan dan pendidikan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 21 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan pelbagai jenis bantuan untuk anak yatim sembilan beradik dan ibu mereka selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.

Agensi tersebut memaklumkan keluarga tersebut layak menerima beberapa bantuan seperti kewangan bulanan dan pendidikan.

“Selain itu, LZS juga dalam proses meluluskan bantuan makanan bulanan dan sewa rumah bulanan untuk mereka,’’ kata kenyataan itu.

Turut menghulurkan bantuan semalam ialah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang menyumbangkan wang tunai dan Pek Kasih Yide kepada ibu anak yatim itu, Suzana Abd Shattar.

Keadaan rumah sembilan anak yatim yang hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 20 Januari 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

Kebakaran kira-kira jam 1 pagi pada 19 Januari lalu memusnahkan hampir keseluruhan rumah tersebut.

Sembilan beradik itu yang masing-masing masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan sekolah kehilangan bapa pada Oktober 2021 akibat Covid-19.

Ibu mereka yang bekerja sebagai kerani mengambil alih tugas ketua keluarga selepas kehilangan suaminya.

Keluarga tersebut kini menumpang sementara di rumah saudara yang terletak berdekatan.


Pengarang :