Kenderaan Komuniti MBSA yang disediakan secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sekitar Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di hospital serta pusat rawatan terpilih. Foto MBSA
PBTSELANGOR

1,434 warga emas, OKU guna khidmat kenderaan komuniti MBSA

SHAH ALAM, 2 FEB: Seramai 1,434 pengguna menggunakan khidmat kenderaan komuniti yang disediakan secara percuma oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak 2015.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata daripada jumlah itu 91 orang menggunakan perkhidmatan terbabit pada 2015 diikuti 2016 (127); 2017 (202); 2018 (190); 2019 (205); 2020 (126); 2021 (13) dan 2022 (483).

“Sambutan amat memberangsangkan dari tahun ke tahun namun sejak Covid-19 melanda bilangan orang menggunakan kenderaan komuniti ini agak berkurangan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MBSA menyeru warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mahu ke hospital atau mana-mana pusat rawatan yang tersenarai menggunakan perkhidmatan ini,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Kenderaan komuniti yang disediakan secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sekitar Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di hospital serta pusat rawatan terpilih. Foto MBSA

Penyediaan kenderaan komuniti adalah inisiatif MBSA menerusi tanggungjawab sosial korporat dan keprihatinannya berikutan perkhidmatan pengangkutan kepada golongan terbabit terhad dan sukar didapati.

Setakat ini, MBSA mempunyai dua unit kenderaan iaitu van yang diubah suai mengikut keperluan golongan OKU dan sebuah Proton Exora untuk warga emas.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03-5522 2732.

Program khidmat kenderaan komuniti disediakan dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Lokasi penghantaran seperti berikut:

Klinik Kesihatan Seksyen 7 dan Seksyen 19
Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang
Klinik Kesihatan Sungai Buloh
Hospital Besar Shah Alam
Hospital Besar Sungai Buloh
Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Pusat Perubatan Universiti Malaya


Pengarang :