EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dalam sesi temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Kualiti air Sungai Selangor tahap baik, tiada loji dihenti tugas

SHAH ALAM, 5 FEB: Kualiti air Sungai Selangor berada pada tahap baik dengan bacaan ammonia bawah 1 mg/l dan menepati parameter kurang 1.5 mg/l yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

EXCO infrastruktur berkata dapatan itu berdasarkan pemantauan 24 jam dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) susulan penemuan ammonia yang tinggi di muka sauk loji rawatan air (LRA) SSP1, SSP 2 dan SSP 3 pada Khamis.

“Luas memantau lokasi-lokasi utama di lembangan Sungai Selangor. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga memaklumkan ketiga-tiga LRA beroperasi seperti biasa,” kata Ir Izham Hashim menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah kualiti air tidak hanya berpunca dari pencemaran sebaliknya turut dipengaruhi aktiviti ekonomi dan operasi perbandaran sepanjang jajaran Sungai Selangor.

Bagaimanapun Izham memberi jaminan pendekatan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dilaksanakan Kerajaan Negeri mampu mengatasi risiko kualiti air selain LRA akan terus beroperasi dengan baik.

“SJAM meliputi hukuman berat kepada pesalah, pemantauan dan pengawasan 24 jam Skuad Pantas Luas di Sungai Selangor dan Sungai Langat, selain pengepaman sumber air mentah dari Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dan kolam takungan di Sungai Semenyih,” katanya.

Pada Khamis, Air Selangor mengesan peningkatan ammonia di muka sauk LRA SSP1, SSP2 dan SSP 3. Bagaimanapun tindakan segera mengaktifkan SJAM berjaya menghalang henti tugas LRA terbabit.


Pengarang :