Penyanyi Aina Abdul menyanyikan lagu Terus Hidup yang melayakkannya memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari 2023. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Harapan Aina Abdul untuk Terus Hidup, kenang arwah bapa

OLEH INTAN SYUHADA AKHIR

SHAH ALAM, 28 FEB: Kelainan persembahan pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37, Aina Abdul di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari masih diperkatakan peminat muzik tanah air.

Tuah lagu ciptaannya,Terus Hidup turut menobatkan beliau pemenang vokal terbaik mengalahkan penyanyi seperti Shila Amzah, Ernie Zakri, Marsha Milan Londoh dan Dayang Nurfaizah.

Kemenangan penyanyi berumur 30 tahun itu melayakkannya membawa pulang wang berjumlah RM112,000 beserta trofi.

Bertemu Selangorkini di belakang pentas sejurus tamat AJL, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani tersenyum bangga dan mengakui lama mengimpikan kemenangan itu.

“Saya bermula pada 2015 ketika memasuki program nyanyian Mentor Legend. Waktu itu ramai yang mengenal saya sebagai Aina Mentor Legend dan saya akui bukan mudah untuk mendaki nama dalam industri hiburan ini.

“Saya menyepi selama empat tahun selepas itu, bukan kerana saya merajuk. Tapi kerana saya sedang asah bakat nyanyian dengan bernyanyi di kelab malam. Kesusahan itulah yang membuatkan saya boleh bernyanyi dan bercerita pengalaman saya sendiri hari ini.

“Saya memang ada harapan yang sangat besar untuk lagu Terus Hidup. Saya tak tipu, memang saya nak sangat rasa kemenangan ini. Ini semua berkat doa ibu dan peminat yang selalu menyokong saya. Saya juga nak tujukan kemenangan ini buat arwah bapa,” katanya.

Penyanyi Aina Abdul menerima trofi selepas lagu Terus Hidup dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37, di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari 2023. Foto SELANGORKINI

Bapa Aina, Abdul Ghani Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam kereta semasa menunggu Aina menyertai uji bakat nyanyian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada 2008.

Aina sukar melupakan insiden ketika berumur 15 tahun sehingga pernah menyalahkan diri sendiri atas perkara menimpa bapanya.

Bagi mengingati peristiwa berkenaan, Aina memilih persembahan serba putih berkonsep awan di pentas akhir AJL sebagai simbolik buat bapa yang sentiasa menyokong kariernya.

“Saya dedikasikan lagu Terus Hidup untuk ayah yang pergi meninggalkan saya. Saya anggap beliau seperti awan. Semasa akhir persembahan, anda lihat ada awan jatuh dari atas.

“Anggap sahaja itu adalah sebutir awan daripada kuburan. Sebutir awan itulah memberi saya kekuatan untuk melepaskan,” ceritanya.

Habis RM85,000

Tidak hanya vokal, busana yang disarung Aina setiap kali muncul di pentas sering menjadi bualan.
Meletakkan kepercayaan kepada pereka fesyen terkenal tanah air, Melinda Looi, busana Aina menggunakan lebih 200 meter kain dengan berat sehingga 10 kilogram.

“Tahun lalu saya banyak terlibat dengan kerja di luar negara. Di dalam pesawat, selalu duduk di tepi tingkap. Jadi ada banyak gambar awan di dalam galeri telefon bimbit. Awan pula ada banyak bentuk, ada bergulung, ada macam gula-gula kapas.

“Jadi saya gunakan khidmat Melinda Looi untuk merealisasikan konsep itu. Ada banyak jenis awan di dalam busana saya. Saya percaya Melinda Looi kerana dia sahaja yang faham kegilaan saya,” katanya ketawa.

Aina turut menggunakan khidmat kru seramai 30 orang. Penyanyi itu juga berhabis sehingga RM85,000 untuk AJL.

“Memang saya akan laburkan sedikit wang untuk hasil yang berbaloi. Tambahan saya ada sedikit rezeki dan ruang untuk digunakan pada malam persembahan,” katanya.

Seramai 11 peserta berentap merebut gelaran juara di acara berprestij itu. Naib juara dimenangi lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow. Diikuti Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos di tempat ketiga.

Pertandingan diadili juri profesional iaitu Datuk Acis, Altimet, Norynn Aziz, Jari, AD Samad, Khir Rahman, Damien Mikhail, LY dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua.


Pengarang :